Friday 29 May 2015

Refleksi Nurainna Afiqah Binti Abdul Shukor

SEBELUM

Pada hari pertama perjumpaan saya bersama En Norjo saya ditayangkan beberapa video pendek yang berkisahkan tentang kehidupan masyarakat yang berbeza latar belakang.Video itu juga turut menunjukkan bagaimana sukarnya kehidupan manusia ataupun yang lebih spesifik kanak-kanak yang kurang upaya seperti buta mahupun pekak,akan tetapi pada masa yang sama mereka masih boleh hidup dengan gembira.Selain itu,ada juga video yang menayangkan kehidupan kanak-kanak yang tinggal di rumah anak-anak yatim tetapi pada hari raya mereka berusaha untuk pulang ke kampung untuk menziarahi kubur ibu bapa mereka walaupun pelbagai halangan dihadapi.Ini amat menyentuh hati saya kerana saya juga telah kehilangan bapa ketika usia saya 10 tahun.Tetapi saya sangat bersyukur kerana saya masih mempunyai ibu yang amat menyayangi saya.Selain itu,En Norjo turut menayangkan video di luar negara yang menunjukkan seorang pemandu bas yang melakukan kerja-kerja kebajikan di samping beliau melakukan tugas sebagai seorang pemandu.Beliau memberikan makanan kepada 'homeless' dengan menggunakan duit beliau sendiri.Terdapat juga pelbagai video lain yang berkisahkan perkara yang sama.Hal ini amat meyentuh saya dan membuat saya tertanya kenapa saya yang orang Islam ini tidak melakukan perkara yang sememangnya baik untuk diri saya sendiri.'Siapakah saya'?ini merupakan soalan yang ditanya apabila tamatnya satu-satu video yang ditayangkan.Setelah saya melihat video yang ada saya mula sedar bahawa saya sebenarnya beruntung kerana masih mempunyai keluarga yang selalu beri sokongan dan memberi sepenuh kasih sayang untuk saya.Hal ini kerana sebelum ini saya sering memandang orang yang lebih daripada saya sedangkan ramai yang hidup lebih sukar daripada saya.Pada masa yang sama saya juga dapat faham kenapa kursus jalinan masyarakat ini ditubuhkan dan perlu dilaksanakan oleh mahasiswa universiti.Saya juga mula berazam untuk melakukan dan menyiapkan kursus ini dengan bersungguh-sungguh.








SEMASA

Semasa kumpulan kami membuat perancangan  mengenai apakah projek yang sesuai dilakukan,saya turut pening memikirkan ke mana hala tuju kumpulan kami.Kumpulan kami mempunyai banyak idea tetapi kami tidak yakin akan idea yang kami pilih.Pada kali pertama kumpulan kami membentangkan 3 cadangan kepada En Norjo iaitu kami bercadang untuk membuat projek JM bersama penduduk kampung di Tanjung Karang,pilihan kedua kami memilih untuk pergi ke rumah anak yatim al-Kauthar di Bangi,membuat program bersama-sama anak yatim dan yang terakhir kami bercadang untuk membuat program bersama penduduk Orang Asli di Pahang.Pada masa ini saya nampak En Norjo lebih berminat agar kami membuat program bersama NGO.Namun pada masa yang sama semua yang kami rancang tidak menjadi kerana apabila saya telefon rumah anak yatim tersebut,pengurusnya mengatakan kebanyakan hujung minggu mereka telah ditempah oleh pihak lain.Lagipun kami hanya dapat buat program bersama mereka 2 hari sahaja dan ini tidak mencapai objektif kursus.Setelah berbincang sesama ahli kumpulan,apabila kami diminta untuk membentang kertas cadangan kepada En Norjo kami memilih 2 program iaitu Rumah Anak Yatim Al-Kauthar dan Program bersama NGO Generasi Gemilang.Alhamdulillah En Norjo berpuas hati dan akhirnya kami memilih untuk mengikuti program di bawah NGO Generasi Gemilang dan segala prosedur yang telah ditetapkan untuk menjadi sukarelawan dapat kami lakukan dengan lancar.Pada masa ini saya berasa lega dan sebenarnya bukan senang hendak melakukan program yang melibatkan organisasi besar.Masing-masing perlu melakukan tanggungjawab masing-masing.


Semasa program dilaksanakan,pelbagai perasaan yang saya rasai dan tidak digambarkan dengan kata-kata.Pada hari pertama saya menyertai program KidzLife iaitu bertempat di PPR Seri Pantai saya berasa sangat blur pada awalnya kerana saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan.Pada waktu yang sama terdapat juga para sukarelawanan daripada kumpulan lain yang berpengalaman melakukan program tersebut.Jadi saya hanya belajar daripada apa yang mereka lakukan.Kanak-kanak di sana bukanlah seperti yang saya sangkakan.Saya sangkakan mereka daripada golongan yang susah dan tidak mampu dalam banyak perkara.Hakikatnya mereka merupakan kanak-kanak yang bersih dan pintar,Cuma mereka dalam kalangan miskin bandar.Mereka sangat pandai dan faham apa yang kakitangan GG ajarkan.Mereka sangat komited dalam apa yang mereka belajar dan juga bersungguh-sungguh setiap kali aktiviti dilakukan.Di sini saya belajar kita kena hargai apa sahaja yang orang lain lakukan kepada walaupun cuma sekecil zahrah.Berbeza pula dengan kanak-kanak di Taman Prima Selayang.Di sini,mereka kebanyakannya berasal dari kaum India dan Cina.Kaum Melayu hanya golongan minoriti.kanak-kanak di sini sangat-sangat aktif dan pada mulanya agak sukar dikawal kerana saya belum kenal mereka dengan lebih mendalam.Pada masa ini saya dapat mendidik diri untuk menjadi lebih bersabar dalam melayan kerenah kanak-kanak di samping dapat mengenali kanak-kanak yang berlainan bangsa dan etnik daripada diri saya sendiri.Melangkah ke program-program seterusnya saya mula berasa sayang dan selesa bersama kanak-kanak di kedua-dua tempat yang saya pergi.








SELEPAS

Setelah selesai segala program bersama pihak Generasi Gemilang selama 5 kali,terlalu banyak kebaikan dan pengajaran yang saya dapat sematkan dalam diri.Saya berasa sangat bersyukur kerana berpeluang menyertai program yang dianjurkan oleh pihak Generasi Gemilang.Pertamanya saya dapat peluang yang tidak dapat di tempat lain iaitu mengenali komuniti-komuniti yang kurang bernasib baik yang hidup di sekitar Kuala Lumpur.Saya berasa sangat bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang tidak susah dan masih boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.Disamping itu,saya juga dapat mengikhlaskan diri saya dalam melayani kerenah kanak-kanak yang bukan daripada kalangan umat Islam dan bangsa Melayu.Saya juga dapat berkomunikasi dengan orang yang daripada pelbagai latar belakang.Seterusnya,saya juga dapat menimba pengalaman bekerjasama dengan pihak NGO.Saya juga dapat menimba pengalaman sebagai setiausaha dalam projek ini.Sesungguhnya kerja sebagai setiausaha ini agak rumit.Tetapi dengan bantuan ahli-ahli kumpulan lain saya dapat selesaikan tugas saya dengan lancar.Seterusnya semangat kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan juga semakin bertambah.Kami mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan bersama-sama.Daripada setiap program yang dilakukan,pelbagai pengajaran yang kami dapat.Contohnya menghargai ibu,sentiasa berasa gembira dan sebagainya.Jadi saya berharap agar saya dapat menyertai program sebegini lagi agar sahsiah diri saya dapat ditingkatkan.








Sekian Terima Kasih

Disediakan oleh,
Nurainna Afiqah binti Abdul Shukor
Setiausaha

No comments:

Post a Comment