Wednesday 27 May 2015

Refleksi Maryam Jamilah Binti Abdul Rahim

SEBELUM

Dalam subjek Jalinan Masyarakat ini, ahli kumpulan saya terdiri daripada 10 orang di mana kami semua merupakan pelajar dari jurusan yang sama iaitu Sains dengan Pendidikan. Pada mulanya, kami telah bersepakat untuk pergi ke rumah anak yatim atau orang-orang tua. Jadi setiap ahli kumpulan ditugaskan untuk mencari rumah anak yatim, rumah orang-orang tua atau rumah orang yang kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pada mulanya, kami telah memilih rumah anak yatim Al-Khausar di Bangi sebagai tempat untuk kami menjalankan aktiviti kami untuk subjek ini, tetapi akhirnya salah seorang ahli kumpulan kami iaitu Fermilah, telah mencadangkan untuk kami menyertai aktiviti di bawah Generasi Gemilang. Generasi Gemilang ini merupakan satu pertubuhan yang banyak melakukan aktiviti aktiviti yang banyak berbakti kepada golongan yang kurang bernasib baik dan mereka juga amat mengalu-alukan sukarelawan daripada golongan para remaja seperti kami.


SEMASA

Dalam banyak-banyak aktiviti yang dijalankan oleh pihak Generasi Gemilang, saya dan ahli kumpulan saya telah menyertai aktiviti mereka di PPR Sri Pantai dan PPR Taman Selayang dan aktiviti yang kami sertai merupakan selama 5 hari dan kami melakukannya pada setiap hujung minggu di bulan Mei. Aktivit yang kami sertai ini dinamakan “ KIDZLIFE “ dan semasa aktiviti ini dijalankan, saya dapat mengenali golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Pada mulanya, saya berasa sangat terkejut dengan respon yang diberikan oleh kanak-kanak itu sepanjang aktiviti Kidzlife dijalankan kerana mereka kelihatan sungguh bersemangat dan tidak ada masalah di dalam hidup mereka. Saya berasa sangat kagum dengan semangat mereka. Banyak aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan yang telah kami lakukan sepanjang program ini dijalankan. Antaranya ialah, tayangan video , bermain“ games ”, sambutan hari ibu, sambutan hari jadi, menyanyi, dan juga kraftangan.


SELEPAS

Selepas selesai 5 hari aktiviti kami untuk program Jalinan Masyarakat di bawah Generasi Gemilang ini, jujur saya katakan, terlalu banyak kenangan dan input-input yang baik yang telah saya dapat daripada program dan subjek ini. Program ini banyak mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang yang pandai menghargai orang, kerana sepanjang program ini dijalankan, saya sering memerhatikan kanak-kanak tersebut terlalu menghargai setiap apa yang kami lakukan untuk mereka walaupun perkara yang kami lakukan untuk mereka itu kadang kadang hanya melibatkan pertolongan yang sangat kecil. Saya juga belajar bagaimana untuk tidak menunjukkan emosi kita apabila kita dilanda masalah. Mereka juga telah mengajar saya untuk terus gigih belajar kerana saya melihat setiap kanak-kanak ini mereka mempunya cita-cita yang sangat tinggi walaupun mereka tidak membesar dalam keadaan yang selesa dan harmoni jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain. Walaupun aktiviti kami telah berakhir, tetapi jika ada kelapangan , saya akan pergi lagi ke program ini.



Sekian, terima kasih.


Disediakan Oleh,
Maryam Jamilah Binti Abdul Rahim,
Bendahari.


No comments:

Post a Comment