Tuesday 26 May 2015

Refleksi Aini Norain Binti Rosli

SEBELUM

Ketika mendaftarkan subjek kursus jalinan masyarakat ini, saya berfikir apakah bentuk pengajaran mengenai kursus ini. Adakah hanya melalui seperti subjek yang lain yang hanya belajar di dewan kuliah ? Atau adakah kami akan keluar beramai-ramai bersama dengan pensyarah kami ke sesuatu tempat ? Apakah kursus ini penting dan memberi manfaat kepada saya ? Atau hanya sekadar untuk melepasi jam kredit sahaja ? Ternyata sangkaan saya meleset sama sekali. Ianya tidak sepertimana yang saya sangkakan. Rupa-rupanya, setelah diberi pendedahkan mengenai objektif kursus ini oleh pensyarah kami merangkap penasihat kami dalam kursus sains dengan pendidikan ini, saya mulai faham. Disebabkan bilangan kami agak ramai tidak seperti pelajar kursus-kursus yang lain, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut major masing-masing dan kami haruslah memilih satu projek komuniti untuk menjalankan aktiviti yang kami rancang. Akhirnya, saya bersama-sama dengan sembilan lagi orang rakan yang tidak berapa saya kenali mula bergabung dalam sebuah kumpulan bersama-sama bagi menjayakan kajian lapangan ini sehingga ke detik akhirnya.


SEMASA

Pensyarah kami pada awalnya meminta setiap kumpulan kami mengemukakan tiga projek yang ingin kami kendalikan. Secara rawak, kami mengemukakan untuk idea pertama adalah ke kampung orang asli, kedua ke rumah orang-orang tua dan akhir sekali ke rumah anak-anak yatim. Ada salah seorang rakan kumpulan mencadangkan untuk menjadi antara sukarelawan bersama-sama satu badan NGO ini iaitu Generasi Gemilang ( GG ). Tetapi pada ketika ini kami lebih menjurus minat terhadap rumah anak-anak yatim seperti Rumah Al- Khausar di Titiwangsa dan rumah anak yatim di Sentul. Bukan itu sahaja, desebabkan kami harus mengadakan selama empat hari, kami juga turut merangka untuk bahagikan sebanyak dua hari bagi setiap rumah. Tetapi, siapa yang tahu, mungkin ada hikmah disebalik ini, kedua-dua rumah ini dibatalkan. Setelah puas memikirkan yang mana yang terbaik serta selepas dirujuk dengan pensyarah kami, kami nekad untuk memilih badan NGO iaitu Generasi Gemilang.


SELEPAS

Setelah selesai berurusan dengan pihak GG, setibanya pada tarikh program yang dirancangkan, maka bermulalah kajian lapangan kami. Jujur saya katakan, saya agak takut serta gemuruh pada hari pertama program. Saya mungkin boleh dilabelkan sebagai seseorang yang kurang pandai bergaul dan berkomunikasi lebih-lebih lagi dengan kanak-kanak. Alhamdulillah. Hari pertama berjalan dengan lancar meskipun pada awalnya saya sangat kekok dengan persekitaran yang baru ini. Sehinggalah ke hari terakhir program kami ini, hati saya berasa sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan program ini untuk turut bersama-sama dengan kanak-kanak yang hadir. Ada antara mereka yang sudah pun mengenali saya dan berharap saya dapat hadir lagi pada sesi akan datang. Banyak yang saya telah pelajari dari program jalinan masyarakat ini. Antaranya adalah saya dapat belajar cara untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak, cara mengawal keadaan dan emosi, mengenali dan bekerjasama dengan rakan-rakan baru sehingga terjalinnya satu ikatan mesra dengan mereka serta memberikan pengajaran kepada saya bahawa jika saya merasakan diri sangat susah, di luar sana masih terdapat ramai lagi yang lebih susah malahan derita daripada kita. Oleh itu, kita mestilah sentiasa bersyukur dengan apa jua nikmat yang diberi dan sentiasa membantu kepada mereka yang memerlukan. In shaa ALLAH, jika ada kelapangan, saya dan rakan-rakan akan pergi menghadirkan diri dalam program ini lagi.



Sekian, terima kasih.


Disediakan Oleh,
Aini Norain Binti Rosli,
Biro Publisiti.

No comments:

Post a Comment